MENU

Kompleks Sejarah Matang(dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim) yang terletak di Bukit Gantang, Matang (dulu Permatang), Perak, telah dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan adalah anak kepada Cek Long Jaffar orang Melayu pertama tahun 1840 membuka perusahaan lombong bijih timah di kawasan Larut, Matang dan Selama. Kompleks ini adalah merupakan sebuah bangunan yang beliau jadikan sebagai rumah, kota dan juga pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan-bahan yang terdiri daripada batu batan sahaja.

Setelah Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, Kota ini diletak dibawah pengawasan pentadbiran Inggeris sehingga ianya dijadikan sebagai Maktab Perguruan Melayu Matang (1913-1922). Selepas itu dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu (1913-1941). Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) ianya berperanan sebagai Markas Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun 1946, ianya dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1945-1984). Kota ini dijadikan Kompleks Sejarah Matang hingga sekarang mulai tahun 1985 setelah ianya diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti).