MENU
 

HIGHLIGHTS

 

SALAH SATU POKOK HUJAN-HUJAN (SAMANEA SAMAN) YANG TUMBANG TELAH MATI

30 SEPTEMBER 2021 - Sebatang pokok Hujan-hujan (Samanea Saman) JTT1079 berdekatan Jeti Taman Tasik Taiping yang tumbang pada 20 Januari 2018 lalu, disahkan telah reput dan mati. Pokok yang berusia 136 tahun tumbang ke arah jalan menghala tasik disebabkan kegagalan sistem akarnya (point of failure: structural and anchor roots).

 

Akar utama yang menguat dan menahan dirian pokok ini telah reput. Akar utama yang berada kira-kira 1.5 meter dari kolar akar telah reput dengan anggaran rongga berdiameter sekitar 8 inci. Pokok ini telah sekian lama ditegang-kuatkan oleh akar besar ini yang tumbuh ke arah parkir. Manakala sebahagian besar dari dahan-dahan utama serta batangnya pula tumbuh condong menghala ke arah jalan dan tasik.

Laporan Pemeriksaan dan Penilaian Pokok Warisan di Taman Tasik Taiping yang dikeluarkan oleh Arboris Bertauliah pada tahun 2019 telah menyatakan bahawa pokok ini dijangkakan kekuatan dahan yang masih hidup akan merosot dan mati beberapa bulan atau setahun lagi dan perlu dipantau segera. Tindakan memasang proping dan merawat pokok juga dibuat seperti yang dicadangkan pihak arboris.

Tindakan penanaman semula pokok Hujan-hujan sebagai langkah penggantian pokok yang mati juga telah dilakukan pada tahun 2019 yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Borhan bin Abdul Halim, mantan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping. Sebanyak tiga batang pokok telah ditanam di kawasan berhampiran lokasi asal pokok tumbang atau mati. Pokok yang mati ini akan dijadikan objek kayu ‘sculpture tree’ di Taman Tasik Taiping. Manakala, proping sedia ada akan diguna semula pada pokok yang memerlukan seperti JTT 1076 berhampiran kawasan tandas awam (Tempat Meletak Kereta D).